Pusat bantuan
Ya, kami sedia membantu
Pesara Digital ialah aplikasi percuma untuk pesara kerajaan Malaysia dan keluarga. Cari jawapan, ikut panduan ringkas, atau hubungi kami terus.
Aina, pembantu AI anda
Tanya apa sahaja tentang Pesara Digital, dalam aplikasi.
Soalan lazim
63 soalan dalam 13 kumpulan. Buka kumpulan yang anda perlukan.
Umum
10 soalan
Apakah Pesara Digital?
Pesara Digital ialah aplikasi satu pintu untuk pesara kerajaan Malaysia, dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM). Di dalamnya anda boleh mendapatkan ganjaran dan baucar, membeli insurans, menyimpan rekod kesihatan, menggunakan kalkulator kewangan, menyemak bantuan kerajaan, membaca berita PPKM dan menghubungi ahli keluarga dalam kecemasan — semuanya dalam satu aplikasi.
Siapa yang boleh mendaftar?
Sesiapa sahaja — pesara kerajaan, pasangan, anak-anak dan penjaga mereka. Anda tidak perlu mempunyai nombor akaun pencen untuk mendaftar. Semasa mendaftar, pilih jenis keahlian anda: Pesara, Keluarga atau Penjaga.
Adakah Pesara Digital percuma?
Ya. Mendaftar dan menggunakan aplikasi ini adalah percuma. Produk rakan niaga — seperti insurans — dibayar terus kepada rakan niaga berkenaan, dan harganya dinyatakan dengan jelas sebelum anda membuat pilihan.
Adakah Pesara Digital sama dengan MyPesara (KWAP)?
Tidak. Pesara Digital bukan aplikasi KWAP dan tidak dihubungkan dengan akaun pencen anda. Ia adalah aplikasi PPKM dan rakan niaganya untuk perkhidmatan tambahan kepada pesara. Maklumat pencen anda tidak dibaca, dipaparkan atau disimpan dalam Pesara Digital.
Adakah aplikasi ini boleh digunakan dalam Bahasa Inggeris?
Buat masa ini aplikasi disediakan dalam Bahasa Malaysia sahaja. Versi Bahasa Inggeris akan menyusul dalam fasa akan datang.
Adakah saya perlu memuat turun aplikasi dari Play Store atau App Store?
Tidak. Pesara Digital tiada di Play Store atau App Store buat masa ini. Ia dibuka melalui pelayar web telefon anda dan boleh dimuat turun ke skrin utama telefon seperti aplikasi biasa. Lihat bahagian "Muat turun aplikasi" dalam Soalan Lazim ini.
Adakah Pesara Digital aplikasi kerajaan?
Tidak. Pesara Digital ialah aplikasi persendirian yang dibangunkan dengan kerjasama PPKM, sebuah persatuan pesara kerajaan. Ia bukan aplikasi KWAP, JPA atau mana-mana agensi kerajaan, dan tidak dihubungkan dengan akaun pencen anda.
Apakah yang boleh saya buat dalam Pesara Digital pada peringkat ini?
Pada peringkat pertama anda boleh: mendaftar dan menyimpan profil, mendaftarkan ahli keluarga untuk SOS, menerima e-baucar hadiah pendaftaran, membeli insurans motor dan memohon SecureMas PA, merekod tekanan darah, gula dalam darah, berat, ubat dan temujanji, menggunakan dua kalkulator kewangan, menyemak senarai bantuan kerajaan dan Duit Tak Dituntut, membaca berita dan maklumat cawangan PPKM, melihat waktu solat dan mencari ambulans, hospital dan klinik berdekatan. Ciri lain akan datang secara berperingkat.
Apakah maksud "Akan datang" pada sesetengah butang?
Ciri itu sedang dibangunkan dan belum tersedia. Butang tetap dipaparkan supaya anda tahu apa yang bakal ditambah. Kami akan memaklumkan anda melalui Peti Masuk dan Berita apabila ia dibuka.
Adakah Pesara Digital memerlukan sambungan internet?
Ya, untuk kebanyakan fungsi. Tanpa internet, anda masih boleh membuka SOS, menghantar SMS amaran melalui aplikasi SMS telefon anda, dan melihat senarai ambulans dan hospital yang telah dimuat turun. Halaman lain memaparkan mesej "Tiada sambungan" sehingga talian pulih.
Daftar dan log masuk
6 soalan
Bagaimana saya mendaftar?
Tekan Mula pada skrin pembuka. Masukkan nombor telefon anda, masukkan kod pengesahan 6 digit yang dihantar melalui SMS, lengkapkan profil anda (lima maklumat), baca dan setujui Terma dan Syarat. Selesai — anda terus masuk ke skrin Utama.
Maklumat apa yang diperlukan semasa mendaftar?
Lima maklumat: nama penuh seperti dalam kad pengenalan, nombor kad pengenalan, tarikh lahir, negeri dan alamat emel. Nombor akaun pencen dan tahun bersara adalah pilihan — aplikasi berfungsi sepenuhnya tanpa maklumat ini.
Mengapa nombor telefon saya diperlukan?
Nombor telefon anda digunakan untuk menghantar kod pengesahan semasa mendaftar dan log masuk. Ia tidak dikongsi dengan sesiapa. Tiada kata laluan — nombor telefon dan kod SMS adalah cara anda masuk.
Adakah saya perlu log masuk setiap kali membuka aplikasi?
Tidak. Selepas log masuk, anda kekal masuk pada telefon yang sama. Kod SMS hanya diminta semula jika anda log keluar, menukar telefon, atau tidak menggunakan aplikasi untuk tempoh yang lama.
Bolehkah orang lain mendaftar bagi pihak saya?
Ahli keluarga boleh membantu anda mengisi maklumat, tetapi kod SMS dihantar ke nombor telefon anda dan akaun itu adalah milik anda. Jangan berikan kod SMS kepada sesiapa yang menghubungi anda.
Bolehkah saya mendaftar akaun kedua dengan nombor telefon lain?
Tidak. Satu nombor kad pengenalan, satu akaun. Jika anda menukar telefon, tukar nombor dalam Profil atau hubungi kami — akaun anda kekal sama.
Muat turun aplikasi
4 soalan
Apakah alamat aplikasi Pesara Digital?
Alamat aplikasi akan diumumkan apabila aplikasi dilancarkan, di laman web ini dan di media sosial rasmi kami. Ikuti Facebook atau Instagram kami, atau WhatsApp kami untuk dimaklumkan.
Bagaimana saya memuat turun Pesara Digital di telefon Android?
Buka pautan Pesara Digital dalam Chrome, tekan Pasang Sekarang apabila diminta (atau menu tiga titik, kemudian Pasang aplikasi / Tambah ke Skrin utama). Ikon Pesara Digital akan muncul di skrin utama telefon anda.
Bagaimana saya memuat turun Pesara Digital di iPhone?
Buka pautan dalam Safari, tekan butang Share (kotak dengan anak panah ke atas, di bahagian bawah tengah), pilih Add to Home Screen, kemudian Add. Dalam Chrome di iPhone, butang Share berada di bahagian atas kanan.
Saya membuka pautan dari WhatsApp dan tidak dapat memuat turun. Mengapa?
Pelayar dalam WhatsApp atau Facebook tidak membenarkan muat turun aplikasi. Tekan Salin Pautan (atau buka menu dan pilih Buka dalam pelayar), kemudian buka pautan itu dalam Chrome atau Safari.
SOS dan keluarga
5 soalan
Apakah fungsi SOS?
SOS memaklumkan ahli keluarga yang anda daftarkan bahawa anda memerlukan bantuan, dan memaparkan nombor kecemasan serta senarai ambulans dan hospital berdekatan. SOS tidak dihubungkan dengan mana-mana perkhidmatan kecemasan dan tidak menghantar ambulans. Untuk kecemasan sebenar, hubungi 999.
Bagaimana SOS berfungsi?
Tekan jalur merah SOS di skrin Utama. Kiraan detik 10 saat bermula — tekan Batal jika tersilap. Selepas itu, SMS amaran dihantar kepada ahli keluarga yang anda daftarkan, dan skrin memaparkan tiga pilihan: Dail 999, Ambulans, dan Hospital dan Klinik.
Bagaimana saya menambah ahli keluarga?
Buka Profil, kemudian Ahli Keluarga, dan tekan Tambah ahli keluarga. Masukkan nama, hubungan dan nombor telefon (nombor Malaysia). Hidupkan suis Terima amaran SOS supaya mereka dimaklumkan semasa kecemasan.
Berapa ramai ahli keluarga boleh saya daftarkan?
Sehingga lima orang.
Adakah ahli keluarga saya perlu memuat turun Pesara Digital?
Tidak. Mereka menerima amaran melalui SMS di telefon biasa. Mereka boleh mendaftar sebagai ahli Keluarga jika mahu, tetapi ia tidak diperlukan untuk SOS.
Ganjaran
5 soalan
Apakah Ganjaran?
Ganjaran ialah tempat baucar dan promosi rakan niaga dikumpulkan untuk ahli Pesara Digital. Buka tab Ganjaran dari skrin Utama.
Bagaimana saya mendapat baucar?
Ahli baharu menerima satu e-baucar FamilyMart RM 10 secara automatik sebagai hadiah pendaftaran — ia terus muncul dalam Baucar dengan status Aktif. Tiada langkah tuntutan. Tunjukkan kod bar kepada juruwang di mana-mana cawangan FamilyMart.
Bagaimana saya menggunakan baucar?
Buka Baucar, pilih baucar anda dan tekan Buka Baucar. Halaman rakan niaga dibuka di dalam aplikasi dengan kod bar. Tunjukkan skrin kepada juruwang untuk diimbas. Satu baucar untuk satu transaksi.
Apakah hadiah pendaftaran?
Setiap ahli baharu menerima satu e-baucar FamilyMart bernilai RM 10 secara automatik sebaik sahaja mendaftar, selagi stok masih ada. Baucar itu muncul dalam Baucar dengan status Aktif.
Jika saya memadam akaun dan mendaftar semula, adakah saya mendapat baucar lagi?
Tidak. Hadiah pendaftaran diberikan sekali sahaja bagi setiap nombor kad pengenalan.
Insurans
6 soalan
Insurans apa yang ada dalam Pesara Digital?
Dua produk daripada Lonpac Insurance Bhd: Insurans Motor (Private Car Secure — Komprehensif) dan SecureMas PA, insurans kemalangan diri untuk warga emas.
Siapa penanggung insurans? Adakah Pesara Digital sebuah syarikat insurans?
Perlindungan disediakan oleh Lonpac Insurance Bhd, yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, dan merupakan ahli PIDM. Pesara Digital bukan penanggung insurans dan tidak memproses tuntutan — kami memperkenalkan produk ini kepada anda.
Bagaimana saya membeli insurans motor?
Buka Insurans, pilih Insurans Motor dan tekan Dapatkan Sebut Harga. Aplikasi memaklumkan bahawa anda akan dibawa ke laman Lonpac, kemudian halaman rasmi Lonpac (Bahasa Malaysia) dibuka di pelayar telefon anda. Masukkan nombor pendaftaran kenderaan dan nombor kad pengenalan, dapatkan harga serta-merta dan bayar terus kepada Lonpac.
Apakah SecureMas PA?
SecureMas PA ialah insurans kemalangan diri untuk umur kemasukan 35 hingga 70 tahun, boleh diperbaharui sehingga umur 100 tahun, tanpa pemeriksaan perubatan. Tiga pelan: Silver RM 270, Gold RM 375 dan Diamond RM 485 setahun (kadar Lonpac, termasuk cukai perkhidmatan dan duti setem RM 10). Pelan bersama pasangan: RM 425, RM 595 dan RM 765.
Bagaimana saya memohon SecureMas PA?
Buka Insurans, pilih SecureMas PA, pilih pelan yang anda minati dan hantar borang pertanyaan ringkas — nama, nombor telefon dan pelan. Team kami atau Lonpac akan menghubungi anda untuk melengkapkan permohonan dan bayaran.
Bagaimana saya membuat tuntutan?
Tuntutan dibuat terus dengan Lonpac. Dokumen produk dalam aplikasi (Panduan Tuntutan dan Soalan Lazim Motor; polisi SecureMas) menerangkan langkahnya. Pesara Digital tidak memproses tuntutan.
Kesihatan
4 soalan
Apa yang boleh saya rekodkan dalam Kesihatan Saya?
Tekanan darah, gula dalam darah dan berat badan, senarai ubat anda, dan temujanji. Anda boleh melihat semula setiap rekod pada bila-bila masa.
Di mana rekod kesihatan saya disimpan?
Dengan kebenaran anda, rekod disimpan dengan selamat dalam akaun Pesara Digital anda dalam pelayan kami di Malaysia. Hanya anda yang boleh melihatnya. Ia tidak dikongsi dengan sesiapa tanpa kebenaran anda, dan dipadam apabila anda memadam akaun.
Apakah Doktor Virtual?
Perkhidmatan untuk berbincang dengan doktor berlesen terus dari telefon anda, disediakan oleh HeyDoc (Heydoc Health Sdn Bhd) — doktor membalas dalam kurang 60 saat, 7 hari seminggu, dengan preskripsi digital dan ubat dihantar ke rumah pada hari yang sama atau diambil di farmasi. Untuk masalah kesihatan ringan seperti demam, selesema, batuk dan sakit kepala. Butang Terokai dalam aplikasi membuka HeyDoc dalam pelayar anda.
Adakah Doktor Virtual untuk kecemasan?
Tidak. Untuk kecemasan, sila ke hospital terdekat atau hubungi 999.
Kewangan dan Bantuan
4 soalan
Apakah yang ada dalam Kewangan dan Bantuan?
Dua kalkulator (Berapa lama duit saya bertahan, dan Baki pinjaman saya), senarai Bantuan dan Sumbangan kerajaan, semakan Duit Tak Dituntut, dan panduan Jika berlaku sesuatu untuk keluarga anda.
Adakah kalkulator ini nasihat kewangan?
Tidak. Kalkulator memberikan anggaran sahaja dan bukan nasihat kewangan. Ia tidak mengambil kira keadaan kewangan peribadi anda. Sila rujuk perunding kewangan berlesen sebelum membuat keputusan.
Adakah angka yang saya masukkan disimpan?
Tidak. Maklumat yang anda masukkan ke dalam kalkulator tidak disimpan.
Adakah Duit Tak Dituntut memerlukan bayaran ejen?
Tidak. Semakan dan tuntutan di eGUMIS adalah percuma dan dibuat sendiri di laman rasmi Jabatan Akauntan Negara. Jangan bayar sesiapa yang menawarkan "bantuan" untuk menuntut wang anda.
Komuniti
2 soalan
Apakah yang ada dalam Komuniti?
Berita dan pengumuman PPKM, acara, dan senarai cawangan PPKM di setiap negeri dengan alamat dan nombor telefon.
Dari mana waktu solat dalam aplikasi diambil?
Waktu solat mengikut data rasmi JAKIM (e-Solat) untuk zon anda. Zon ditentukan daripada lokasi telefon anda — pastikan akses lokasi dibenarkan untuk aplikasi ini.
Privasi dan data
6 soalan
Maklumat apa yang Pesara Digital kumpulkan?
Nama, nombor kad pengenalan, tarikh lahir, negeri, emel dan nombor telefon semasa anda mendaftar; nombor akaun pencen dan tahun bersara jika anda memilih untuk memberikannya; nama, hubungan dan nombor telefon ahli keluarga yang anda daftarkan; cara anda menggunakan aplikasi; lokasi anda hanya semasa anda menggunakan SOS atau mencari kemudahan berdekatan; dan, dengan kebenaran anda, rekod kesihatan yang anda masukkan.
Di mana data saya disimpan?
Dalam pelayan di Malaysia (AWS Asia Pacific, Malaysia). Data tidak dipindahkan ke luar negara.
Dengan siapa data saya dikongsi?
Dengan PPKM bagi pentadbiran keahlian; dengan rakan niaga hanya apabila anda memilih perkhidmatan mereka, dan hanya apa yang perlu; dengan pembekal perkhidmatan kami (SMS, notifikasi, pengehosan) yang terikat dengan kontrak; dan dengan pihak berkuasa jika dikehendaki undang-undang. Kami tidak menjual maklumat anda.
Bagaimana saya melihat atau membetulkan maklumat saya?
Buka Profil, kemudian Maklumat Peribadi. Anda juga berhak meminta akses kepada data peribadi anda dan pembetulannya di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 — hubungi kami melalui Bantuan dan Sokongan.
Bagaimana saya memadam akaun?
Buka Profil, kemudian Tetapan, dan pilih Padam Akaun. Aplikasi menerangkan apa yang akan dipadam, kemudian meminta kod SMS sebagai pengesahan. Selepas disahkan, akaun anda ditutup serta-merta dan data anda dipadam — kecuali rekod yang wajib disimpan di bawah undang-undang.
Adakah aplikasi mengumpul statistik penggunaan?
Ya, secara tanpa nama — kiraan paparan skrin melalui Google Analytics untuk menambah baik aplikasi. Tiada bacaan kesihatan atau angka kalkulator direkodkan.
Keselamatan
4 soalan
Bagaimana saya tahu SMS itu benar-benar daripada Pesara Digital?
SMS kami dihantar dengan nama pengirim PesaraD dan tidak mengandungi pautan. Kami tidak pernah meminta kata laluan, PIN bank atau butiran kad melalui SMS. Jika ragu, abaikan SMS itu dan hubungi kami melalui butang WhatsApp dalam aplikasi.
Adakah Pesara Digital akan menelefon dan meminta kod SMS saya?
Tidak. Kod SMS adalah untuk anda sahaja dan tidak akan diminta oleh sesiapa daripada Pesara Digital, PPKM, bank atau polis. Sesiapa yang meminta kod itu adalah penipu.
Seseorang menghubungi saya kononnya daripada Pesara Digital dan meminta bayaran.
Pesara Digital tidak meminta bayaran melalui panggilan atau mesej, dan tiada bayaran dibuat dalam aplikasi pada peringkat ini — premium insurans dibayar terus kepada Lonpac. Jangan buat pemindahan; laporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan di 997 dan maklumkan kami.
Bagaimana saya memastikan saya membuka laman Pesara Digital yang sebenar?
Laman web rasmi kami ialah pesaradigital.com. Alamat aplikasi akan diumumkan di laman web ini apabila dilancarkan; alamat lain yang mendakwa sebagai Pesara Digital bukan daripada kami. Semak alamat di bahagian atas pelayar sebelum memasukkan nombor telefon anda.
Sokongan
2 soalan
Bagaimana saya menghubungi Pesara Digital?
Tekan butang WhatsApp di bar bawah aplikasi, atau buka Profil, kemudian Bantuan dan Sokongan. Team kami membalas pada waktu pejabat.
Apakah waktu operasi sokongan?
Isnin hingga Jumaat, waktu pejabat. Mesej yang diterima di luar waktu ini dibalas pada hari bekerja berikutnya.
Akan datang
5 soalan
Apakah Aina?
Aina ialah pembantu digital Pesara Digital yang akan menjawab soalan anda di dalam aplikasi. Ia akan datang dalam fasa seterusnya. Buat masa ini, gunakan butang WhatsApp untuk bertanya kepada team kami.
Bolehkah saya log masuk dengan cap jari atau wajah?
Log masuk biometrik akan datang dalam fasa seterusnya. Buat masa ini, anda kekal log masuk sehingga 90 hari dan menggunakan kod SMS apabila diperlukan.
Adakah maklumat pencen atau e-slip saya akan dipaparkan dalam aplikasi?
Tidak pada peringkat ini, dan hanya jika ada kerjasama rasmi pada masa hadapan. Pesara Digital tidak membaca maklumat pencen anda. Untuk e-slip pencen, gunakan saluran rasmi KWAP.
Adakah e-wasiat dan bantuan guaman akan ada?
Perkhidmatan perlindungan tambahan seperti e-wasiat dan bantuan guaman dirancang untuk fasa akan datang. Buat masa ini, senarai "Jika berlaku sesuatu" membantu keluarga anda dengan langkah pertama.
Adakah tawaran gaya hidup seperti runcit, pelancongan dan pengangkutan akan ada?
Ya, secara berperingkat. Baucar dan promosi rakan niaga baharu akan ditambah dalam Ganjaran, dan perkhidmatan gaya hidup lain menyusul dalam fasa akan datang.
Panduan ringkas
Empat perkara yang paling kerap ditanya.
Cara mendaftar
- Buka aplikasi dan tekan Daftar.
- Masukkan nombor telefon anda. Kod SMS dihantar ke nombor itu.
- Masukkan kod SMS. Selesai, tiada kata laluan untuk diingat.
Cara muat turun ke skrin utama
Android: buka alamat aplikasi (akan diumumkan) dalam Chrome dan tekan Pasang Sekarang. iPhone: buka dalam Safari, tekan Share, kemudian Add to Home Screen.
Cara menggunakan SOS
- Tekan butang SOS merah di skrin Utama.
- Kiraan 10 saat bermula. Tekan Batal jika tersilap.
- SMS amaran dengan lokasi anda dihantar kepada ahli keluarga yang didaftarkan.
Cara menambah ahli keluarga
Buka Profil, pilih Ahli keluarga, kemudian tambah nama, hubungan dan nombor telefon. Sehingga lima orang. Mereka yang menerima SMS SOS anda.
Hubungi kami
WhatsApp 013-393 6628
Cara paling cepat. Kami balas pada waktu pejabat, Isnin hingga Jumaat, 9:00 pagi hingga 6:00 ptg.
Kecemasan
Hubungi 999. Penipuan: hubungi 997, kemudian maklumkan kami.
